Pages

Friday, April 25, 2014

Hernia (Angin Pasang)

Hernia (Angin Pasang):

Pengenalan
Hernia berlaku apabila kandungan dalam satu-satu ruang badan (biasanya abdomen) membonjol keluar daripada kawasan yang biasa mereka berada. Kandungan ini biasanya adalah sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) yang juga akan membentuk kantung hernia/hernia sac. Ia dikenali dengan angin pasang surut kerana sifat bonjolan itu dapat dilihat dan ada masa tidak. Sifat ini dalam bahasa perubatan dikenali sebagai 'reducible'.


Jenis-jenis Hernia (Angin Pasang)
  1. Inguinal hernia: Berlaku di bahagian kelangkang. Tujuh puluh lima peratus hernia adalah dari jenis ini. Ia 25 kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita. Hernia jenis ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu langsung dan tidak langsung. Keduanya dibezakan melalui sedikit perbezaan berdasarkan kepada punca kejadian mereka. Kedua-duanya boleh kelihatan serupa semasa membonjol di kawasan kelangkang. Membezakan antara keduanya adalah amat penting semasa membuat diagnosa klinikal.
    • Angin Pasang tidak langsung: Hernia akibat bonjolan bila mana kandungan bonjolan terkeluar melalui jalan yang pernah dilalui oleh testes (buah pelir) semasa perkembangan di peringkat janin dahulu. (Ketika peringkat awal janin, buah pelir berada di dalam abdomen dan semasa perkembangan, ia turun ke bawah sehingga masuk ke dalam buah zakar). Jalan ini biasanya tertutup sebelum bayi lahir tetapi boleh menjadi tempat berlakunya hernia kemudian hari. Hernia ini boleh berlaku di semua peringkat umur. Kadangkala kantung hernia boleh membonjol sehingga ke dalam buah zakar.
    • Angin Pasang langsung: Hernia ini berlaku pada kawasan di mana dinding abdomen agak kurang tebal. Ia biasanya tidak menonjol ke dalam skrotum. Tidak seperti hernia tidak langsung yang boleh berlaku di semua peringkat umur, Hernia langsung ini cenderung berlaku  kepada mereka yang berada di peringkat pertengahan umur dan orang tua disebabkan dinding abdomen menjadi semakin lemah bila umur meningkat.
  2. Hernia femoral: Saluran femoral adalah jalan di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan peha. Biasanya saluran ini ketat dan padat, tetapi kadangkala ia menjadi besar untuk membolehkan kandungan abdomen menonjol ke dalam saluran tersebut. Hernia femoral menyebabkan bonjolan di bahagian bawah lipatan kelangkang, di kawasan tengah peha. Biasanya berlaku kepada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut/irreducible dimana ia tidak boleh ditolak masuk.
  3. Hernia hirisan: Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama di bahagian yang dihiris. Ia  menyebabkan kawasan bekas hirisan ini menjadi lemah. Hernia boleh terjadi pada bahagian yang lemah ini. Ia berlaku dalam 2%-10% pembedahan abdomen.
Penyebab Hernia (Angin Pasang)
Hernia yang berlaku di kalangan warga tua samada disebabkan oleh adanya jalan yang terbentuk semasa perkembangan fetus, bukaan sedia ada di dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sebab sesuatu keadaan.
Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan hernia atau menerukkan lagi hernia. Contoh termasuk:
  • Obesiti,
  • Mengangkat objek berat,
  • Batuk,
  • Meneran semasa buang air besar atau kecil
  • Penyakit paru-paru kronik dan,
  • Ada cecair di dalam ruang abdomen.
Gejala, tanda-tanda dan komplikasi hernia(angin pasang)
Gejala dan tanda-tanda hernia adalah berbagai-bagai. Ia boleh jadi ringan iaitu seseorang mengadu menghidapi bonjolan yang tidak sakit yang timbul apabila berdiri atau batuk atau meneran dan masuk balik bila berbaring atau ditolak masuk dengan tangan.
Ada yang datang dengan gejala dan tanda-tanda yang teruk seperti bonjolan yang sakit, tidak boleh disentuh apa lagi ditekan masuk balik ke dalam ruang abdomen, kulit luar mungkin kelihatan merah kehitaman dan pesakit mungkin demam. Ini adalah akibat kandungan bonjolan seperti usus telah mengalami kekurangan bekalan darah akibat himpitan (jerutan) salur darah biasanya di lubang bukaan hernia. Ia dikenali sebagai angin pasang terbelit (strangulated hernia).
  • Angin pasang surut
    • Ia boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain.
    • Seorang boleh rasa sakit/senak sedikit tetapi biasanya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit.
    • Bonjolan akan timbul atau bertambah saiz bila berdiri atau bila tekanan dalam abdomen bertambah (seperti batuk).
    • Ia boleh ditolak masuk semula ke dalam abdomen (reducible).
  • Angin pasang tidak surut
    • Ia boleh merupakan bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, kemudiannya menjadi tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau bila ditolak masuk dengan tangan.
    • Sebahagiannya mungkin kronik iaitu telah berlaku untuk satu jangkamasa yang lama tetapi oleh kerana tidak sakit pesakit tidak mendapatkan rawatan.
    • Ia boleh menjadi strangulated hernia.
  • Angin pasang terbelit
    • Hernia ini biasanya bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudiannya mengalami belitan pada bukaan hernia menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah.
    • Biasanya pesakit mengadu sakit terutama apabila bonjolan ditekan. Boleh ada tanda-tanda usus tersumbat seperti loya, muntah dan perut menjadi kembung.
    • Pesakit boleh ada demam dan biasanya kelihatan tenat.
    • Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.
Rawatan
Penjagaan di Rumah
Secara umum semua jenis angina pasang perlu dibedah kecuali seseorang pesakit tidak boleh menjalani pembedahan atas sebab-sebab kesihatan yang lain.
Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan tekanan dalam abdomen seperti batuk, angkat objek berat atau meneran yang boleh menyebabkan angina pasang menjadi lebih besar. Seseorang yang batuk perlu mendapatkan rawatan.
Seseorang yang meneran semasa buang air besar atau kecil perlu menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui puncanya. Ia mungkin disebabkan masalah sembelit atau masalah kelenjar prostat besar (benign prostatic hyperplasia) yang perlu dirawat.
Rawatan Perubatan
Bergantung kepada samada ia boleh surut atau tidak boleh surut dan kemungkinan terbelit.
  • Angin pasang boleh surut
    • Secara umum, semua angin pasang perlu dibedah untuk mengelakkan kemungkinan komplikasi terbelit.
    • Jika pembedahan tidak boleh dilakukan atas sebab kesihatan yang lain, doktor akan selalu membuat pemeriksaan secara berkala.
    • Keadaan di mana doktor tidak melakukan pembedahan
      • Ada hernia yang mempunyai bukaan hernia yang besar di mana risiko untuk terjerut adalah sangat rendah dan pembedahan untuk menutup bukaan besar ini adalah rumit.
    • Rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.
  • Angin pasang tidak surut
    • Semua angin pasang tidak surut memerlukan rawatan kecemasan kerana risiko komplikasi terbelit.
    • Cubaan untuk surutkan atau masukkan semula angin pasang boleh dilakukan biasanya dengan bantuan ubat tahan sakit dan ubat peregang otot (muscle relaxant).
    • Jika cubaan gagal, pembedahan kecemasan perlu dilakukan.
    • Jika cubaan berjaya, rawatan seterusnya bergantung kepada jangkamasa angin pasang ini berada dalam keadaan tidak surut (irreducible).
      • Jika kandungan angin pasang adalah usus dan kemungkinan berlaku belitan dan bekalan darah ke usus yang terperangkap itu terhenti, tisu usus tersebut akan mati atau rosak ( gangrenous) dalam masa 6 jam.
      • Dalam kes angin pasang terbelit melebihi masa di atas, pembedahan dilakukan untuk melihat kerosakan tisu usus dan membaiki angin pasang .
      • Jika masa tidak surut adalah pendek dan diyakini tidak berlaku belitan dan tisu usus tidak rosak, pesakit boleh keluar wad selepas disurutkan.
    • Disebabkan angin pasang ini berisiko untuk berulang menjadi tidak surut, adalah lebih  baik pembedahan dilakukan lebih awal daripada biasa.
Kadangkala, angin pasang tidak surut ini telah berlangsung begitu lama dan menjadi kronik di mana pesakit tidak merasa sakit dan tiada tanda-tanda sumbatan usus, bagi kes seperti ini pembedahan boleh dilakukan secara elektif (mengikut jadual seperti biasa.

'via Blog this'

0 comments:

Post a Comment

Thank You! Do recommend me other medical blogs or website!

 
Copyright (c) 2010 Medik Bloglist !. Design by WPThemes Expert

Blogger Templates and RegistryBooster.